Permasalahan wacana yang berfokuskan jantina berhubung dengan siapa yang seharusnya menjadi ketua kerajaan dan menjadi punca kejayaan sesebuah negara

Beberapa ketika yang lalu, saya menonton sebuah video Youtube oleh ML Studios yang bertajuk 'Can a Woman be the PM of Malaysia?’ (Bolehkah Wanita Menjadi PM Malaysia?)'. Video tersebut bermanfaat  kerana ia menerangkan kesahihannya daripada aspek Perlembagaan Malaysia. Namun, jawapan di bawah ruangan komen agak kelakar bagi saya. Reaksi sedemikian di dalam ruangan komen tidak baru. Saya telah melihatnya di Twitter beberapa tahun lalu dan pendapat-pendapat yang diketengahkan adalah bernada seksisme dan misoginistik sama seperti di ruangan komen video tersebut. Saya rasa reaksi sedemikian adalah manifestasi sistem patriarki yang masih lazim dalam minda budaya kebanyakan rakyat Malaysia. Respon terhadap reaksi tersebut adalah hujah yang datang dari penyokong pemberdayaan wanita dan kesaksamaan gender. Walaubagaimanapun, kedua-dua sisi hujah itu adalah dibahas dalam cara yang tidak mendalam dan hanya ke satu arah.

Walaupun penyertaan politik yang serata untuk kedua-dua lelaki dan wanita mencirikan sebuah negara berdemokrasi, wacana mengenai jantina mana yang paling sesuai (atau tidak sesuai) untuk memimpin negara sering dalam aspek satu dimensi dan tidak mendalam. Satu dimensi dalam erti ini ialah bahawa apa yang kita lihat adalah tingkah laku psikologi dan emosi berdasarkan jantina. Seolah-olah faktor itu sendiri menentukan kejayaan sesebuah negara dalam aspek politik atau ekonomi. Hujah yang dipakai untuk membalas hujah tersebut adalah dengan memberikan contoh-contoh negara-negara yang berjaya di mana seorang wanita adalah ketua kerajaan dan memberi contoh-contoh negara yang kurang berhasil di mana seorang lelaki adalah ketua pemerintah. Definisi negara-negara yang berjaya di sini adalah berdasarkan peringkat negara dalam Indeks Demokrasi, Kedudukan Ekonomi (PDB Nominal), dan Indeks Pembangunan Manusia terkini. Walaupun terdapat sejumlah contoh yang mencukupi untuk memberi dan menyokong hujah-hujah tersebut berdasarkan indeksglobal, hasil perbahasannya tetap dalam ruangan satu dimensi sahaja. Mereka tidak mengambil kira beberapa faktor yang mampu menjadikan negara-negara tersebut menjadi berjaya atau lebih teruk.

Negara terkini yang memegang tangga pertama berdasarkan Indeks Demokrasi 2019 dan Indeks Pembangunan Manusia 2019 adalah Norway yang kini mempunyai Perdana Menteri wanita - Erna Sohlberg. Bagi negara terkini yang memegang tangga pertama berdasarkan KDNK Nominal adalah Amerika Syarikat yang kini mempunyai presiden lelaki - Donald Trump. Negara yang memegang kedudukan terakhir dalam Indeks Demokrasi 2019 ialah Korea Utara yang dipimpin oleh seorang lelaki - Kim Jong Un. Bagi Peringkat Ekonomi yang terakhir, ia adalah Sudan Selatan yang mempunyai ketua lelaki kerajaan - Salva Kiir Maryadit. Negara terakhir yang berpangkat dalam Indeks Pembangunan Manusia 2019 adalah Niger yang mempunyai presiden lelaki - Mahamadou Issoufou. Apa yang kita dapat simpulkan dari kedudukan negara berdasarkan kriteria global dan jantina seorang pemimpin negara? Ia menampakkan seolah-olah negara-negara yang menduduki tempat terakhir dalam kedudukan dunia berdasarkan kriteria global adalah disebabkan pemimpinnya lelaki. Walau bagaimanapun, adalah terlalu mudah untuk kita membuat kesimpulan bahawa kerana lelaki berkuasa di negara-negara ini maka lelaki tidak sesuai untuk menjadi seorang pemimpin. Logik ini tidak betul kerana kita tidak mengambil kira faktor lain yang mungkin menyebabkan mereka berada di kedudukan terakhir. Korea Utara menduduki peringkat terakhir kerana sistem politik autoritariannya dan Sudan Selatan menduduki terendah dari segi KDNK nominal kerana pada masa kini, negara ini bergantung kepada pertanian dengan majoriti yang tinggal di kawasan luar bandar, tetapi keganasan, kekurangan makanan, dan air tidak cekap bekalan sering menyebabkan kebuluran dan penyakit [4]. Bagi Norway, peningkatan kedudukan negara ini dalam Indeks Demokrasi 2019 dan Indeks Pembangunan Manusia 2019 adalah disebabkan oleh perancangan pembangunan manusia yang strategik dan falsafah 'hidup mengikut kemampuannya' yang telah diamalkan secara bertahun-tahun [5]. Dalam tahun-tahun sebelumnya, terdapat seorang wanita dan beberapa perdana menteri lelaki. Oleh itu, untuk melihatnya dalam perspektif yang lain, adakah ini menyimpulkan bahawa kerana Norway telah diketuai oleh lelaki untuk kebanyakan tahun, adakah ini bermaksud kaum lelakilah yang sesuai untuk menjadi pemimpin? Sekali lagi, kesimpulan sebegini adalah agak mudah untuk dibuat dan ianya menghasilkan sebuah analisa yang tidak mendalam.

Dalam kedua-dua cara kita melihatnya, wacana yang berfokuskan jantina tentang siapa yang sesuai atau tidak untuk menjadi ketua kerajaan sering menjadi satu dimensi dan tidak mendalam. Argumen berdasarkan psikologi dan kelakuan emosi jantina adalah tidak memberikan keadilan terhadap hujah-hujah yang memerlukan analisis dari pelbagai perspektif. Wacana dalam media sosial sering menentang atau menyokong mana-mana pihak dengan menganalisis kejayaan (atau kegagalan) sesebuah negara berdasarkan jantina seseorang dan menetapkan ianya sebagai satu titik perbandingan. Sekiranya wacana jenis itu berterusan, ia akan menghasilkan kesimpulan yang salah kerana tidak adanya hubungan antara jantina seorang ketua pemerintah dengan kejayaan atau kegagalan sesebuah negara.

Gambar diambil dari 'The Economic Times'


Rujukan:

1) Human Development Index 2019 - link
2) Democracy Index 2019 - link
3) Economic Ranking 2020 - link

Comments