Ulasan buku: 'Intelektual yang Membosankan'

 

Penulis mengkritik banyak bacaannya, yang merupakan tindakan wajar bagi seseorang yang berfikir kerana kita tidak sepatutnya menerima semua perkara dengan membuta tuli. 

Tanggapan pertama saya daripada tulisannya ialah pemikirannya dan penulisannya sangat teratur, beliau juga mempunyai pembacaan yang meluas, dan mampu mengaitkan pengalaman serta pembacaannya sendiri dengan tulisan orang lain, sama ada dalam menyetujui apa yang beliau baca ataupun sebaliknya. 

Perkara yang paling penting yang diutarakan di dalam buku ini ialah bagi seorang intelektual ialah dia harus menjadi pelaku. Idea ini telah saya nyatakan sejak sekian lama kerana apa yang kita renungkan dan perhatikan tentang masalah masyarakat harus diikuti dengan tindakan untuk menyelesaikannya dalam apa sahaja kapasiti yang kita ada.

Saya juga suka bahawa dia memulakan penulisannya dengan kerangka untuk berfikir secara intelektual - refleksi, dialog, pemikiran saintifik (tetapi tidak dogmatik tentang sains, iaitu tidak 'saintistik'). Kerangka ini saya fikir mampu menajamkan lagi pemikiran seseorang 'intelektual'. Penemuan ini juga membuatkan saya tertarik untuk membaca buku 'Rupert Sheldrake' yang bertajuk 'The Science Delusion'. Selain itu, melalui buku ini juga ia membuka minda saya mengenai usaha dekolonialisasi di kalangan sosiologis tempatan yang terkemuka. Kadang-kadang usaha dekolonialisasi sebenarnya dengan tidak sengaja menggunakan kerangka, idea, dan persepsi dari Barat.

Saya hanya mempunyai dua perkara yang ingin saya sampaikan sebagai kritikan terhadap buku ini.

1. Di bawah bab 'Pendidikan', dia menyebut 'rasa ingin tahu' sebagai motivasi utama manusia. Dan ia adalah asas yang mendorong kita untuk belajar. Betul. Tetapi dalam sudut keadah pengajaran, menurut Daniel Willingham dalam bukunya yang bertajuk 'Why Don't Students Like School?', rasa ingin tahu tidak selalu membawa kepada 'tindakan untuk berfikir'. Sebenarnya, manusia adalah pemikir yang malas. Jadi tanpa pendekatan yang tepat untuk menarik perhatian dan mengekalkan 'rasa ingin tahu' ini oleh guru, pelajar akan terganggu. Saya rasa apa yang perlu diperhalusi di sini ialah bagaimana rasa ingin tahu itu harus dikekalkan dan dipelihara. Sebenarnya adalah 'misleading' untuk mengatakan bahawa rasa ingin tahu sahaja sudah cukup. Penulis sebenarnya telah tepat apabila menyatakan bahawa 'tugas guru adalah menggunakan kaedah yang paling sesuai, yang menepati tahap dan kemampuan pelajarnya' tetapi tidak meletakkan hujah ini dalam konteks perenggan tentang 'rasa ingin tahu'.

Bab ini kurang huraian tentang bagaimana untuk mengajar tetapi sebaliknya menjadi terlalu berfalsafah. Ini tidak salah, tetapi seharusnya diimbangi dengan contoh bagaimana falsafah itu dimanifestasikan dalam praksis. Walau bagaimanapun, saya memahami bahawa penulis mungkin tidak mempunyai latar belakang dalam pedagogi.

Walaupun begitu, yang menarik perhatian saya ialah, penulis menyentuh tentang 'sistem class streaming' yang mengasingkan pelajar mengikut tahap kemampuan akademik. Dia berfikiran bahawa ia adalah untuk praktikaliti dan bukan untuk dilihat sebagai bentuk stigmatisasi bagi pelajar. Sebagai seorang guru, saya setuju dengna pendapat ini. Walau bagaimanapun, ini tidak sepatutnya menjadi masalah. Dari sudut praktikaliti sebagai seorang guru juga, dengan adanya kaedah 'keterbezaan', ia berfungsi sebagai penyelesaian untuk mewujudkan kesaksamaan dalam pengajaran dalam sistem non-streaming. Saya sendiri telah melaksanakan kaedah ini.

2. Dalam bahagian 'Mengkritik Intelektual Feminisme' pula, satu lagi kritikan yang saya ada ialah penulis merujuk kepada Sheryl Sandberg yang mengatakan bahawa seorang wanita harus bekerja, sentiasa produktif, dan menerima cabaran, tetapi ini hanya perlu dilakukan jika wanita itu rela melakukannya. Namun, ini sepatutnya diikuti dengan kritikan bahawa tidak semua wanita boleh mencapai ini walaupun dia mempunyai keinginan tersebut kerana kadang-kadang terdapat halangan dari segi ekonomi, infrastruktur, sosial, dan politik yang menghalang wanita daripada mencapai apa yang dia mahu. Ini salah satu aspek yang terlepas pandang oleh penulis di dalam hujahnya untuk memperjuangkan hak wanita.

Secara keseluruhannya, saya menikmati isi-isi dan hujah di dalam buku ini. Saya berharap jika penulis membaca ulasan ini, beliau dapat mengambilnya sebagai satu bentuk 'dialog' dan seterusnya 'merenung'. 

Comments